KUALA LUMPUR – Pemuda MIC Kebangsaan menegaskan cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya ganti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing adalah adalah pandangan peribadi.
Menurut Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan, kenyataan itu tidak mewakili pendirian Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan dikeluarkan atas kapasiti individu oleh Dr Akmal.
“Itu adalah pandangan peribadi beliau. Gesaan tersebut dibuat sebagai cadangan kepada Perdana Menteri untuk menggantikan Menteri MOTAC,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Ditanya sama ada isu berkaitan gesaan Dr Akmal pernah dibincangkan peringkat Pemuda BN, kata Arvind.
“Kali terakhir Pemuda BN duduk semeja berbincang adalah setahun setengah yang lepas. Sudah lama tidak mesyuarat. Jadi isu berkaitan gesaan Dr Akmal untuk King Sing digantikan itu lebih kepada pandangan beliau sendiri tanpa libatkan Pemuda BN,” ujarnya.
Semalam, Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka mencadangkan agar King Sing digantikan selepas sekali lagi terlibat dalam kontroversi.
Beliau turut mencadangkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, sebagai pengganti.
Akmal dan King Sing saling kritik mengkritik dalam isu papan tanda pelbagai bahasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak beberapa hari ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Rayer lebih layak sebagai menteri berbanding King Sing, kata Dr Akmal