KUALA LMPUR – Seorang guru ditahan polis kerana dipercayai memiliki ganja bernilai RM6,300 di Damansara Damai, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 40 tahun itu dibuat sekitar jam 6.45 petang, semalam.
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki jenis ganja seberat 210 gram bernilai RM6,300 dan ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan itu mendapati positif dadah jenis ganja.
“Semakan juga lanjut, suspek tidak mempunyai rekod lampau itu merupakan guru di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati ganja itu dipercayai untuk kegunaan sendiri.
Susulan itu, suspek direman lima hari sehingga Ahad bagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes dadah di mana-mana balai berdekatan atau menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662267. – MalaysiaGazette