ALOR SETAR – Seramai 569 penduduk daripada 197 keluarga di daerah Kubang Pasu dan Sik dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kediaman mereka dilanda banjir.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan berkata, seramai 535 penduduk melibatkan 184 keluarga ditempatkan di enam PPS bagi daerah Kubang Pasu.
Jelasnya, kesemua penduduk terjejas terdiri daripada 16 buah kampung dan taman perumahan.
“Antaranya Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Kubang Lintah, Kampung Bendang Tok Leh, Kampung Belukar, Belakang Balai Polis Pekan Lama Changlun, Kampung Kubang Betong, Taman Cengal dan Taman Sri Utama.
“PPS Sekolah Menengah Kebangsaan, SMK Changlun menempatkan seramai 282 penduduk; SMK Binjai (105); Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8 (65); dan SK Sultan Ahmad Tajuddin (83).
“Manakala PPS di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu dan SK Malau dalam proses bancian,” katanya.
Sementara itu bagi Daerah Sik, seramai 34 penduduk melibatkan 13 keluarga ditempatkan di PPS SK Kota Aur. – MalaysiaGazette