KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (MEDIU) akan menganjurkan Kursus Intensif ‘Smart Umrah’ secara percuma kepada orang ramai sebagai usaha meningkatkan tahap pengetahuan orang ramai berkaitan ibadah umrah.
Kursus dengan kerjasama pendakwah selebriti, Da’i Aiman sebagai Pembimbing Umrah turut bertujuan memberikan bimbingan dan maklumat yang komprehensif kepada para peserta.
Da’i Aiman atau nama sebenarnya Aiman Sufyan Aezman merupakan bekas peserta Da’i Pendakwah Nusantara di TV3 dan juga pengacara rancangan siaran TV9, Tanyalah Ustaz.
Beliau pernah mengharumkan nama Malaysia di luar negara apabila menyertai pertandingan pendakwah peringkat Asia di Indonesia dan berjaya memenangi tempat kedua.
Sementara itu, MEDIU berkata, kursus tersebut meliputi mengenai persiapan, tatacara dan pelaksanaan ibadah umrah yang turut melibatkan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam universiti itu, Dr. Ibrahim Tohyala sebagai penceramah.
“Kursus Intensif ‘Smart Umrah’ ini akan diadakan pada 6 Disember ini Dewan Utama, Kampus Utama MEDIU di Desa Petaling.
“Ia terbuka kepada semua yang berminat untuk menyertai program ini dan setiap peserta akan diberikan sijil digital selepas tamat kursus bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian +6018-2266286 untuk maklumat lanjut dan tempahan tempat duduk.
MEDIU merupakan institusi pendidikan tinggi swasta yang ditubuhkan hasil kerjasama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali peneraju universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.
Ia kini mempunyai lebih 3,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian terdiri 96 buah negara dengan penyediaan lebih 94 kursus akademik yang telah memperolehi akradetasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). – MalaysiaGazette