ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan cadangan membuka Safari Malam di Zoo Johor, Johor Bahru susulan sambutan luar biasa pengunjung sejak zoo itu dibuka semula pada 31 Ogos lalu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat banyak maklum balas diterima daripada pengunjung Zoo Johor berkenaan cadangan itu sekali gus akan menjadi satu tarikan pelancongan.
“Bukan sekarang, namun Insya-Allah (Night Safari) sedang diperhalusi kerana kita mahu teliti dahulu sektor keselamatan pengunjung dan haiwan di zoo.
“Peningkatan infrastruktur termasuk pemasangan sistem pencahayaan mesra alam di kawasan zoo yang menyamai suasana waktu malam secara semula jadi tanpa mengganggu habitat haiwan selain laluan masuk termasuk untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas perlu dilihat sebelum menjayakan cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Onn Hafiz (BN-Machap) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Chong (PH-Bekok) berhubung sambutan pengunjung Zoo Johor sejak dibuka semula.
Zoo Johor yang berusia 96 tahun dan tertua di Malaysia itu ditutup sejak 2020 sebelum dibukan semula pada 31 Ogos lalu selepas menjalani beberapa kerja naik taraf.
Zoo berkenaan yang berkeluasan lebih 12 hektar itu mampu menampung kehadiran sehingga 5,000 pengunjung dalam satu masa bagi melihat secara dekat lebih 100 spesies haiwan yang ada.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Zoo Johor merekodkan jumlah pengunjung seramai 500,000 sejak dibuka semula pada 31 Ogos lalu.
Katanya, pencapaian itu amat membanggakan memandangkan produk pelancongan tersebut yang ditutup hampir empat tahun bagi tujuan penambahbaikan mendapat sambutan luar biasa.
“Zoo Johor dibuka dengan kerjasama banyak pihak termasuk tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang turut menyumbang dana RM9 juta bagi membuka semula Zoo Johor.
“Tahun depan dianggarkan sejuta pengunjung akan melawat Zoo Johor dengan hasil disasar sebanyak RM6 juta, susulan sambutan hebat pengunjung,” ujarnya.
Susulan itu kataya, Zoo Johor dijangka mampu beroperasi dengan hasil pendapatan sendiri dengan sambutan hangat berkenaan.- MalaysiaGazette