KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan pertimbangan ekonomi dengan Amerika Syarikat (AS) akan menjejaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman zionis Israel terhadap penduduk Gaza.
Jelasnya, apa yang disuarakan oleh Putrajaya adalah demi kepentingan rakyat Palestin yang dinafikan hak mereka dan tidak membataskan usaha negara untuk terus menyuarakan hak tuntutan rakyat negara itu.
“Saya tidak fikir pertimbangan ekonomi boleh menjejaskan pendirian kita serta mengurangkan atau mengekang pendirian kita dalam menyuarakan hak tuntutan buat rakyat Palestin dan Gaza,” katanya dalam menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.
Anwar (PH-Tambun) berkata demikian mengulas pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang igin tahu adakah Malaysia menghadapi apa-apa risiko sekatan perdagangan dari Amerika Syarikat disebabkan oleh kelantangan Putrajaya dalam mempertahankan hak rakyat dan negara Palestin.
Katanya, hubungan dagang di antara Malaysia dan Amerika Syarikat juga menyaksikan peningkatan dari Januari hingga Oktober tahun ini.
“Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat meningkat 29.1 peratus kepada RM264.28 bilion, peningkatan agak tinggi iaitu US$57.76 bilion daripada RM204.78 bilion atau US$45.09 bilion bagi tempoh sama 2023,” katanya lagi.
Tambah beliau, hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat juga masih baik yang mana kedua-dua negara meneruskan semua perkongsian komprehensif dan kerjasama termasuk pertemuan dengan pemimpin negara itu.
“Ia lebih melibatkan soal imbangan bayaran di antara kedua-dua negara di mana berlaku defisit seperti mana yang diumumkan Presiden Donald Trump semasa kempen beliau.
“Sekarang menjalinkan semua hubungan dengan pasukan baharu setakat upaya kita tetapi sebagai negara merdeka dan berdaulat, pendirian Malaysia dalam isu-isu antarabangsa termasuk keganasan dan kezaliman, penjajahan di Palestin dan Gaza akan terus kita suarakan,” katanya lagi.
Dalam sesi sama, Anwar turut menjawab pertanyaan PMQT tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin tahu reaksi negara lain di APEC berhubung kelantangan Putrajaya mengecam kekejaman zionis di Palestin dan Gaza.
Menurut beliau, beberapa negara seperti Colombia dan Chile jelas positif dengan nada keras yang dipamerkan oleh Malaysia ketika Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).- MalaysiaGazette