PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap segelintir pimpinan politik yang menggunakan sentimen perkauman dengan berselindung di sebalik nasionalisme untuk membenci dan memfitnah.
Beliau berkata, lazimnya, pimpinan politik sebegitu walaupun gagasan yang dibawa agak menarik namun mereka dangkal dan bankrap idea hingga terdesak menggunakan isu yang boleh menarik perhatian orang.
“Fahaman perkauman yang sempit, itu paling mudah. Kalau dia orang Melayu, mereka akan rasa tercabar kerana mungkin ada satu dua poster bahasa Cina, dalam kalangan orang Cina, rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar.
“Kalau pergi ke negeri, hak rakyat Sabah dia terhakis, ini semua sentimen yang boleh menarik. Tugas anak-anak muda mendapatkan pencerahan secara kritis, kebenaran kenyataan, mendengar daripada semua pihak dan mencari jalan penyelesaiannya.
“Dia guna sentimen untuk membakar semangat, membenci orang. Kadang-kala saya dengar pidato-pidato pimpinan politik negara, tiada hujah bicara tentang dasar, tiada kupasan, penuh dengan kebencian.
“Sedangkan tiada satu fahaman atau ideologi atau agama atau nilai yang mempertahankan kebebasan untuk merosakkan, menghina, mencaci dan memfitnah,” katanya ketika merasmikan Festival Idea di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Perdana Menteri juga mengingatkan generasi muda agar tidak mudah terpengaruh dengan pendekatan songsang pimpinan politik yang saban hari menyerang kerajaan dengan kata-kata nista dan fitnah.
“Manusia hilang nilai dan harga rasa kasih sayang. Itu memperbetulkan, memperbaiki dengan kasih sayang, kita tidak mahu orang lemah, tidak mahu orang rosak, kita tidak mahu orang rasuah, kita tidak mahu orang melakukan kecurangan.
“Tapi kita seru dengan semangat kasih sayang, ini bukan mencari kelemahan, mengada-adakan apa tidak ada, ini fitnah saban hari kerana kita punya media sosial, kita ada kebebasan.
“Sebab itu saya kata kepada anak-anak, kasihlah negara kita, selamatkan negara kita, saudara saudari dan anak-anak bertuah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette