Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 sehingga jam 9.30 pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, jumlah itu melibatkan 11,385 keluarga di enam negeri serta 322 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka.

Menurut beliau, persiapan banjir tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri 1 dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta seluruh jentera dan kerajaan negeri yang memberikan kerjasama dan membuat persiapan lebih baik tahun ini.

“Mengikut negeri Kelantan merekodkan mangsa banjir tertinggi membabitkan 30,582 orang dengan 9,223 keluarga dengan 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan,” katanya sebelum memulakan sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.

Jelas Anwar, Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan NADMA untuk memperkemaskan penyelarasan seluruh kekuatan jentera dan agensi persekutuan dan negeri bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa dapat dibela.

“Penduduk terkesan menjadi keutamaan tertinggi sepanjang tempoh monsun timur laut November 2024 hingga Mac 2025,” katanya lagi.

Untuk rekod, enam negeri yang sedang dilanda banjir adalah Johor, Kedah, Kelantan, Perak, Perlis dan Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here