KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelaskan stesen televisyen milik kerajaan itu tidak dapat menyiarkan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 (Piala AFF) kerana harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan hak penyiarannya.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, ia berikutan RTM perlu membeli pakej yang mengandungi empat saluran sukan yang tidak diperlukan oleh stesen itu.
“Kali ini, pemegang hak siaran Piala AFF mengenakan syarat baharu – jika RTM mahu siarkan Piala AFF, RTM perlu membeli pakej yang mengandungi empat sukan yang tidak diperlukan oleh RTM.
“Harga yang ditawarkan oleh pemegang hak melebihi RM13 juta. RTM telah berunding berkali-kali dan mereka menurunkan sedikit tetapi harganya masih jutaan ringgit. RTM perlu membeli semua sukan dan tidak boleh membeli asing.
“Kami mesti berhemah dalam berbelanja. Rakyat masih boleh menonton Piala AFF tetapi di saluran Astro. Kami cuba sedaya upaya untuk membawakan pebagai acara sukan kepada penonton secara percuma tetapi kami tidak sanggup untuk membayar harga yang amat tinggi dan ini semua adalah wang rakyat,” katanya di laman sosial miliknya.
Beliau menjawab reaksi yang kecewa dari kebanyakan rakyat Malaysia yang mengharapkan stesen televisyen itudapat menayangkan saingan Piala AFF edisi kali ini.
Mengikut rekod skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar dalam usaha menamatkan kemarau 14 tahun saingan AFF 2024 selepas diundi bersama juara bertahan, Thailand dalam Kumpulan A.
Pasukan kendalian Pau Marti Vicente itu berdepan tugas getir apabila turut diundi bersama pemenang Piala AFF empat kali, Singapura selain skuad Kemboja dan Timor Leste.
Kejohanan yang memasuki edisi ke-15 itu dijadualkan bermula 9 Disember ini hingga 5 Januari depan bagi mengelakkan konflik dengan pertandingan kelab AFC. – MalaysiaGazette