KUANTAN – Rumput Bermuda Tifgrand yang ditanam di padang Stadium Darul Makmur (SDM) di sini bakal menghijaukan stadium negeri itu apabila sampai tempoh matang menjelang Mac tahun depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, projek menaik taraf SDM dengan penanaman rumput itu menggunakan keratan akar telah dilakukan semalam.
Beliau sempat meninjau projek menaik taraf padang dan rumput SDM pagi tadi bagi melihat perkembangan projek yang bermula dua bulan lepas.
“Alhamdulillah, projek ini yang bermula pada September lalu kini telah melalui fasa akhir apabila kerja-kerja penanaman rumput menggunakan keratan akar (stolon) telah mula dilakukan semalam.
“Rumput Bermuda Tifgrand yang ditanam di stadium ini adalah jenis yang terbaru dalam industri rumput padang sukan dan pertama seumpamanya di Malaysia. Rumput ini jenis yang tahan lasak, lebih hijau dan tumbuh rapat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Fadzli, sistem siraman automatik (pop-up) juga telah siap dipasang dan berfungsi dengan baik menggunakan air kitaran semula dari air hujan yg mampu menyimpan air sebanyak 150,000 liter.
“Rumput ini dijangka matang pada Mac tahun depan dan boleh mula digunakan sepenuhnya selepas itu. Projek menaik taraf rumput di SDM antara langkah pemodenan imej stadium itu menggantikan rumput cow grass kepada rumput Bermuda dilaksana bersama kerja menaik taraf sistem saliran padang,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan berdasarkan peruntukan bagi kerja menaik taraf SDM termasuk pertukaran rumput baharu membabitkan peruntukan RM1.6 juta.
Peruntukan tersebut membabitkan RM1.1 juta daripada Kerajaan Pahang dan RM500,000 lagi daripada geran Kementerian Belia dan Sukan. – MalaysiaGazette