KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyekat permohonan dana bagi rumah ibadat bukan Islam selama tiga tahun bagi yang telah memohon sebelumnya disifatkan ‘mengarut’ dan melampau.
Ahli Parlimen Tapah merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mendakwa langkah oleh kerajaan Madani bukan sahaja jauh ke belakang sebaliknya juga seolah-olah menganiayai komuniti bukan Islam di negara ini khasnya kaum India.
Kata mantan Menteri Sumber Manusia itu, peratusan tinggi penyokong kerajaan hari ini adalah kalangan kaum India namun tindak tanduk seumpama ini amat mengecewakan kerana fokus dan janji untuk terus menjaga komuniti itu hanya sekadar cakap kosong.
“Tolong jangan anggap masyarakat India remeh dan anda buat keputusan suka hati tanpa langsung fikir sebarang implikasi, kaum ini juga antara yang paling banyak menyumbang kepada pembangunan serta kesejahteraan negara sejak sebelum merdeka lagi.
“Namun, keputusan tidak rasional seperti ini hanya akan menimbulkan kemarahan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India, tetapi juga bukan Islam secara keseluruhan sehingga boleh merosakkan sokongan kepada kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Saravanan mengingatkan bahawa kuil Hindu memainkan peranan penting dalam membina perpaduan komuniti di negara ini namun perkara itu seolah-olah dilupakan kerana KPKT boleh tampil dengan cadangan seumpama ini.
“Kuil-kuil ini bukan sahaja pusat ibadat tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial, keharmonian, dan kebajikan masyarakat. Malangnya, kebanyakan kuil menghadapi kekangan kewangan. Dana-dana daripada kerajaan inilah yang terus digunakan bagi membangunkan rumah beribadat seperti ini.
“Jadi apa rasional sebalik cadangan peraturan baru ini? Ini pastinya akan menyulitkan permohonan pembiayaan untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah ibadat yang memerlukan bantuan. Adakah sesiapa membuat perbincangan terlebih dahulu dengan semua pemegang taruh sebelum keputusan ini?
“Jika kerajaan benar-benar bimbang mengenai salah guna dana, mereka boleh sediakan pasukan pemantau untuk menilai keadaan sebelum meluluskan pembiayaan dan bukannya secara ‘tergesa-gesa’ ambil jangan mudah sekat terus,” tegasnya.
Dalam pada itu, Saravanan sekali lagi menggesa KPKT segera menghentikan cadangan untuk meminda garis panduan pembiayaan rumah ibadat bukan Islam.
“Adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua rumah ibadat dilayan dengan adil dan menerima bantuan sewajarnya,” ujarnya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme yang lebih efisien untuk memastikan agihan dana kepada rumah ibadat bukan Islam dilakukan secara telus dan adil.
Kata Aiman Athirah, sehingga 30 September lalu, sebanyak 422 daripada 1,074 permohonan telah diluluskan, melibatkan jumlah peruntukan RM46.1 juta. -MalaysiaGazette
Sekat permohonan dana rumah beribadat tidak rasional – Mahima