KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah di pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
Suspek ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Dewan Bahasa di sini, kira-kira pukul 5 pagi, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Beliau berkata, pihaknya menemukan dadah jenis MDMA dan ketamin ketika membuat pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek.
“Hasil soal siasat ke atas suspek mendapati lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah jenis MDMA ke pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang.
“Suspek dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dan semakan mendapati suspek tiada rekod lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Sulizmie Affendy lagi, anggota MPV yang membuat pemeriksaan ke atas Perodua Bezza yang dipandu suspek menemukan dadah MDMA seberat 650 gram (g) dan ketamin seberat 8.2 g dengan anggaran nilai RM6,140.
Katanya, polis merampas Perodua Bezza berkenaan dan sebuah iPhone yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah kepada pelanggan.
Tambah beliau, suspek direman tujuh hari bermula 25 November sehingga 1 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, 03-26002222. – MalaysiaGazette