KUALA LUMPUR- Fakulti Pendidikan, Sains Sosial & Kemanusiaan (FESSH), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menganjurkan Drama Festival FESSH UPTM 2024 dengan kerjasama Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, baru-baru ini.
Unit Sekretariat dan Komunikasi Korporat UPTM dalam kenyataan berkata, acara itu berlangsung dari 22 hingga 24 November lalu di Dewan Besar KPTM Bangi dengan menyaksikan kehadiran lebih daripada 200 penonton setiap hari.
Bertemakan “The Cadence of Modernity”, festival itu mengetengahkan isu- isu semasa melalui seni persembahan moden.
Menurut penyelaras festival dan juga wakil penasihat drama, Nur Hafizatul Ain Ponidin, tema “The Cadence of Modernity” berjaya menggali cabaran dunia moden dengan pendekatan seni yang penuh kreativiti dan inovasi, memberikan perspektif baharu tentang realiti semasa.
“Festival ini bertujuan untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam seni persembahan tetapi juga memperkasa kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerjasama antara pelajar,” katanya.
Tambah beliau, drama Festival FESSH UPTM 2024 membuktikan bahawa seni persembahan mampu menjadi medium pendidikan yang dinamik di mana ia bukan sahaja menghibur tetapi juga menyemai nilai kebudayaan dan memupuk kemahiran berfikir kritis dalam kalangan mahasiswa.
Festival tersebut melibatkan seramai 207 orang pelajar UPTM daripada dua program fakulti, iaitu Bachelor of Arts (Hons) in Applied English Language Studies dan Bachelor of Early Childhood Education (Honours).
Pelajar-pelajar berkenaan mengikuti kursus Advanced Drama in ESL, Language for The Arts, dan Creative Writing.
Mereka membentuk empat produksi utama iaitu Dilettante, Stellar, M.U.S.E Theatre Co., dan Ambrosia yang mempersembahkan drama penuh inspirasi seperti Kismis: Raisin’ Hell, Ashes, Alisa’s Homecoming dan Digital Symphony.
Selain itu, bacaan puisi oleh enam pelajar kursus Creative Writing turut memukau penonton sekali gus menambah variasi dalam program.
Majlis penutup dirasmikan oleh Naib Canselor UPTM, Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh, dan turut diiringi oleh Pengarah KPTM Bangi, Ku Mohd Akhir Ku Saad.
Acara diserikan lagi dengan kehadiran kolaborator utama festival, Muhammad Fidzri Syafiq Abu Kasim dari Starwalt Creativa, serta Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin. Turut hadir Dekan Fakulti, Dr. Sangeeth Ramalingam; Timbalan Dekan Fakulti, Dr. Nur Ilyani Idris dan ahli-ahli pengurusan tertinggi KPTM Bangi, termasuk Timbalan Pengarah Akademik Azwana Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Bahagian Hal Ehwal Pelajar), Zuraidah Muhidin serta Ketua Jabatan Bahasa Mohamed Ismail Abdul Kader. -MalaysiaGazette