KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa polis menyiasat dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya mempunyai maklumat dan identiti dalang di sebalik gerakan tersebut untuk menggulingkan pentadbiran Hajiji secara tidak berperlembagaan.
“Kami tidak dapat memberi nama-nama individu terbabit kerana maklumat tersebut adalah sulit.
“Ini kerana dalang komplot tersebut sedang disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Namun kami percaya pihak polis mempunyai maklumat itu dan pihak polis perlu menyiasat gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama dua peguamnya membuat laporan polis tambahan wujudnya konspirasi jahat cubaan merosakkan reputasi Ketua Menteri dan menjatuhkan Kerajaan GRS-PH di Balai Polis Sri Petaling, di sini.
Zulkarnain melahirkan rasa kesal apabila komplot itu menggunakan pendekatan dengan menyerang, memfitnah, mencemar dan menjatuhkan semata-mata untuk merosakkan imej Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Politik ini kita boleh agak, pembuat skrip itu siapa, pelakon dia siapa dan laporan polis ini dibuat pada hari Jumaat, mudah-mudahan hari yang mulia ini mereka bertaubat.
“Sebab memfitnah itu satu perbuatan yang benar-benar tidak dapat diterima. Dengan laporan polis ini juga diharapkan dapat dihentikan komplot-komplot ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette