Razali (kiri) ketika meninjau perkembangan Projek Menggantikan Jambatan Di Laluan Persekutuan Ft12 (Segamat – Gambang) Seksyen 102 di Pekan.

PEKAN – Kerajaan Negeri Pahang komited  dalam menyiapkan projek jambatan kekal di laluan Burung Unta dekat sini dalam tempoh 78 minggu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, projek tersebut akan diserahkan kepada kontraktor pada 2 Disember ini bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan jambatan bailey terlebih dahulu.

Beliau sekaligus menyelar tohmahan dilemparkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Manis, Muhammad Rafiq Khan yang mendakwa pembinaan jambatan tersebut ibarat ‘pungguk rindukan bulan’.

Tegasnya, kerja-kerja pelaksanaan telah dimulakan sejak awal tahun ini dan dipantau dengan rapi bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya.

“Jangan politikkan Jalan Burung Unta. Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri telah berusaha daripada awal tahun lagi sejak jalan tutup pada 7 Januari lalu kemudian dibina jambatan bailey.

“Saya turun dari awal sehingga kini di laluan itu sentiasa memantau. Yang Berhormat Pulau Manis turunlah ke tapak, jangan cakap sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Razali, mendapan dan kerosakan struktur arch bridge yang berlaku pada 7 Januari lalu telah menyebabkan Jalan FT12 tersebut ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Ia ditutup sehingga kerja-kerja pembinaan lencongan sementara dan pemasangan jambatan bailey oleh Jabatan Kerja Raya disiapkan dan laluan dibuka semula pada 26 Januari 2024.

Manakala Kementerian Ekonomi telah meluluskan permohonan one-off Kementerian Kerja Raya bagi melaksanakan projek penggantian struktur arch bridge tersebut kepada struktur jambatan konvensional di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4, RMKe-12) Tahun 2024 dengan kos berjumlah RM 16,950,000 pada Mac 2024.

“Kemudian pada Jun 2024, Kementerian Kewangan telah meluluskan kaedah perolehan secara Tender Terbuka Pra Kelayakan.

“Pada 13 Ogos saya telah berjumpa dengan Menteri Kerja Raya dan selepas itu projek ditenderkan. Dan pada 2 Disember ini kerja milik tapak diserah kepada kontraktor.

“Justeru saya minta Yang Berhormat (Muhammad Rafiq) dapat maklumat yang betul, jangan cakap kerajaan acuh tak acuh,” katanya menyangkal dakwaan Muhammad Rafiq mengatakan penutupan di laluan tersebut ditutup seminggu ekoran kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, laluan jambatan bailey di Lebuh Raya Kuantan-Segamat (Lebuh Raya Tun Razak) berhampiran kawasan Burung Unta yang ditutup bermula 22 November lepas telah dibuka semula pada 25 November lalu di mana lebih awal daripada dijadualkan.

Tambahnya, projek menggantikan jambatan di laluan Persekutuan Ft12 (Segamat – Gambang) Seksyen 102 bagi membina jambatan baharu tiga lorong dua hala dengan piawaian R5 sepanjang 70.0m dan lebar 17.5m. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here