KUALA LUMPUR- Malaysia menyerahkan sumbangan RM1.5 juta kepada Lubnan sebagai lambang solidariti berterusan negara ini kepada rakyat Lubnan.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, bantuan tersebut diharapkan dapat membantu dan mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terjejas akibat serangan Israel terutamanya ketika Lubnan bakal memasuki musim sejuk.
“Malaysia kekal komited untuk menyumbang kepada inisiatif kemanusiaan antarabangsa dan menyokong usaha membina keamanan di zon konflik.
“Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Lubnan semasa pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati di sela-sela Sidang Kemuncak Tergempar Negara-negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, 11 November lalu.
Cek sumbangan disampaikan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Duta Besar Lubnan ke Malaysia, George Bitar Ghanem dalam satu majlis di Kementerian Luar Negeri, hari ini. -MalaysiaGazette