KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini.
Afidavit saman fitnah yang baharu diperoleh hari ini menunjukkan saman itu dikemukakan oleh Mohd Asri selaku plaintif berhubung sebuah sidang media yang diadakan kumpulan GISBH pada 29 Ogos melalui firma Faizal Rahman & Co.
Difahamkan sidang media itu berkaitan surat tuntutan GISBH yang mendakwa Mohd Asri telah memfitnah kumpulan itu dalam sebuah hantaran laman sosial Facebook pada 16 Ogos tahun ini.
Bagaimanapun, Mohd Asri menafikan dakwaan tersebut kerana tidak menyebut nama kumpulan tersebut.
Dakwa Mohd Asri dalam afidavitnya, GISBH telah memberi gambaran beliau sebagai seorang pemimpin agama yang tidak patuh pada agama, kenyataan defendan juga menyebabkan dirinya diaibkan, menjatuhkan maruah sebagai imej sebagai mufti, ahli akademik dan pendakwah di Malaysia.
Mohd Asri mendakwa walaupun dia telah mengeluarkan surat tuntutan agar GISBH memadam hantaran di Facebook, membuat permohonan maaf, dan membayar ganti rugi RM10 juta, pihak defendan gagal mematuhi tuntutan tersebut.
Justeru itu, beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM10 juta selain memohon perintah mahkamah agar defendan memadam hantaran di Facebook berkaitan, memohon maaf secara terbuka di media sosial dan akhbar.
Mohd Asri juga memohon defendan menanggung kos tindakan undang-undang.
GISBH dilanda kontroversi apabila adanya dakwaan berlaku penderaan kanak-kanak di rumah kebajikannya serta kegiatan keagamaan yang didakwa sesat, yang membawa kepada serbuan pihak berkuasa ke atas premis-premis mereka.
Ketika ini beberapa pemimpin utamanya sedang ditahan bawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). – MalaysiaGazette