ARKIB--Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjalan keuar dari Kompleks Mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan beliau tidak mengetahui transaksi pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid turut tidak bersetuju dengan keterangan Ahli Parlimen Muar itu bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai jumlah sebenar wang yang dikeluarkan.

Beliau sebaliknya berpendirian, tindakan Syed Saddiq, 31, selaku Ketua Armada (ketika itu) yang juga salah seorang pemegang amanah akaun yang mengarahkan pengeluaran RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, merupakan satu kesalahan pecah amanah.

Pada hemat hakim berkenaan, tindakan menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa diletakkan di tempat yang selamat di pejabat Armada juga menimbulkan satu inferens niat jahat di pihak tertuduh.

“Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak munasabah seorang pemimpin sayap parti politik tidak mengetahui pengeluaran wang yang banyak daripada akaun sayap parti.

“Penafian tertuduh bahawa beliau mempunyai pengetahuan tentang penyimpanan dan kegunaan wang tersebut merupakan sesuatu yang sukar diterima akal,” demikian menurut alasan penghakiman yang diperoleh oleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Alasan penghakiman itu dikeluarkan selepas setahun Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan terhadap beliau atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Syed Saddiq, 31, mencipta sejarah sebagai wakil rakyat pertama dikenakan sebatan kerana melakukan kesalahan jenayah kolar putih. Rayuannya masih belum didengar sementara menunggu rekod rayuan disiapkan. Pengurusan kes pada 16 Januari tahun depan.

Pada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakiman setebal 22 muka surat itu, Syed Saddiq turut menyatakan wang kutipan majlis makan malam yang diadakan adalah untuk menggantikan perbelanjaan kempen pilihan raya yang didahulukan menggunakan wangnya sendiri.

Majlis makan amal itu diadakan bagi mengutip dana membiayai kempen pilihan raya tertuduh yang bertanding bagi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Hakim Azhar berpendapat, pembelaan bahawa beliau menggunakan wang sendiri untuk perbelanjaan kempen PRU14 tidak boleh diterima kerana keterangan itu tidak disokong oleh saksi-saksi lain.

Dakwaan Syed Saddiq bahawa wang itu adalah untuk menggantikan perbelanjaan kempen pilihan raya telah dinafikan oleh saksi pendakwaan kerana tertuduh tidak pernah menunjukkan apa-apa resit perbelanjaan atau memaklumkannya berkenaan tujuan kegunaan wang itu.

Mahkamah turut berpendirian, dakwaan tertuduh bahawa segala butiran perbelanjaan kempen pilihan raya boleh dirujuk kepada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz adalah tidak berasas kerana perkara itu dinafikan oleh penama berkenaan.

“Penyata-penyata bank yang dikemukakan tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai perbelanjaan bagi kempen pilihan raya,” demikian menurut alasan penghakiman itu.

Hakim Azhar turut menyentuh hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan ke atas Syed Saddiq dan berpendapat hukuman tersebut adalah munasabah dan berpatutan dengan mengambil kira kesalahan pertama tertuduh.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan idola anak muda, sewajarnya tertuduh menunjukkan satu contoh yang baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat Muar dalam memperjuangkan hak-hak mereka.

“Mahkamah ini juga mengambil kira usia tertuduh yang masih muda dan mempunyai banyak masa lagi untuk menyedari dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here