Syed Abu Hussin membuat tinjauan di Pasar Segar DSH Madani, Kg Kuala Sungai Baru di Puchong, Selangor hari ini.

PUCHONG – Penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah perlu agresif dilaksanakan bagi mengawal harga barangan dalam usaha menurunkan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini kerana model tersebut telah terbukti berjaya apabila harga barangan lebih murah dijual di pasaran antara 10 hingga 60 peratus.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantung, situasi itu boleh dilihat apabila barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau bahan mentah dibawa terus dari ladang atau laut ke pasar tanpa penglibatan orang tengah atau peranan kartel yang memegang harga akhir.

“Model jualan tanpa orang tengah ini sudah saya laksanakan di Parlimen saya sejak tiga tahun lalu apabila barangan dibawa terus kepada pengguna di mana ia jauh lebih murah daripada pasaran.

“Malah sekiranya pengguna itu berbelanja sekitar RM300 untuk membeli barangan keperluan, mereka mampu berjimat lebih RM100 daripada pembelian itu.

“Bayangkan harga ikan yang sampai dari laut di jeti berharga RM3 namun apabila sampai di pasar biasa harganya RM12.

“Tetapi untuk saya menggunakan model tanpa orang tengah ini, saya hanya perlu tanggung kos logistik dan upah sukarelawan di mana barangan boleh dijual lebih murah bermula sekitar RM4,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan di Pasar Segar DSH Madani, Kg Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Pasar segar itu menjadi projek perintis di Lembah Klang dalam memperkenalkan harga barangan hasil laut, sayur-sayuran dan buah-buahan yang berkualiti dapat dijual lebih murah tanpa penglibatan orang tengah.

Mengulas lanjut, Syed Hussin memberitahu, volum produk memainkan faktor penting dengan membeli hasil produk pada kuantiti yang banyak agar jualan semula kepada pengguna kekal murah.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan semua lapisan rakyat tidak kira peringkat sama ada B40, T20 atau golongan kaya dapat merasai manfaat jualan murah itu di Bukit Gantang selama ini.

“Apa yang penting, jualan murah ini tidak melibatkan subsidi daripada kerajaan kerana ia adalah penyelesaian sebenar dalam membantu rakyat yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Lebih utama, model tanpa orang tengah ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan kepada subsidi barang makanan dan membolehkan kerajaan berbelanja kepada perkara penting yang lain,” katanya.

Syed Hussin menambah, beliau sedia membantu mana-mana peniaga menggunakan model tanpa orang tengah pada masa akan datang dengan melakukan proses percubaan dahulu bermula dengan jualan mingguan.

Kata beliau, sekiranya sambutan pengguna memberangsang, pasar segar jualan murah tanpa orang tengah boleh dikembangkan operasinya bagi memberi maanfaat kepada semua pihak bermula dari golongan petani dan nelayan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here