JOHOR BAHRU – Seramai 425 mangsa banjir ditempatan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Tangkak dan Segamat setakat pukul 10 pagi tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu melibatkan 127 keluarga yang berlindung di sembilan PPS dibuka di dua daerah terbabit sejak semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, Tangkak merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 302 orang.
“Di Tangkak sebanyak tiga PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat menempatkan 167 mangsa banjir daripada 50 keluarga yang merupakan penduduk di Kampung Parit Bengkok.
“Seterusnya, SK Abdullah (46 mangsa banjir) dan Sekolah Agama Bandar (89).
“Di Segamat pula, enam PPS dibuka iaitu Balairaya Kampung Paya Lebar (13); Balairaya Kampung Bukit Tunggal (10); Balairaya Kampung Jabi (8); Balairaya Kampung Batu Badak (40); Dewan Komuniti Tasek dan Balairaya (40) dan Balairaya Kampung Awat (12),” ujarnya dalam kenyataan.
Sementara itu, sebanyak tiga buah sungai di negeri ini dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor pada paras 4.32 meter (m) berbanding paras bahaya 4 m.
Seterusnya, Sungai Lenik di Batu Pahat (6.50 m berbanding 6 m) dan Sungai Kahang di Kluang (14.77 m berbanding 14.50 m).
Selain itu, empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat (8.54m berbanding 8.53m); Sungai Kesang, Tangkak (3.12m berbanding 3m); Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam ( 3.69m berbanding 3.60m) dan Sungai Tebrau di Johor Bahru (3.12m berbanding 3 m).- MalaysiaGazette