Ahmad menyempurnakan gimik perasmian merasmikan Sukan Rakyat DUN Pulai Sebatang di Dewan di Kampung Puteri Menangis, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Jabatan Kerja Raja (JKR) di negeri dan daerah terlibat banjir boleh menubuhkan pasukan khas memasang papan tanda amaran di kawasan terjejas akibat bencana alam itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya.

Pada masa sama katanya, JKR terbabit perlu memantau jalan yang terjejas akibat banjir yang ketika ini melanda beberapa buah negeri terutama di kawasan negeri pantai timur.

JKR juga akan memantau jalan-jalan yang mendap dan cerun yang runtuh selain jambatan.

Katanya, Pengarah dan Jurutera Daerah (JD) diminta mengenal pasti laluan alternatif dengan kadar segera sekiranya jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kerana ditenggelami banjir.

“Memandangkan banjir yang berlaku telah melibatkan sembilan buah negeri setakat ini, tentunya JKR mempunyai tanggungjawab bagi memastikan jalan-jalan perhubungan selamat untuk dilalui.

“Sekiranya tidak selamat, perlu ada laluan pilihan bagi membolehkan bekalan makanan dan logistik dapat sampai ke lokasi dengan kadar segera,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas merasmikan Sukan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang di Dewan di Kampung Puteri Menangis di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Mengenai aduan yang diterima di Bilik Gerakan Banjir Bencana Banjir JKR,  setakat pagi ini, beliau berkata, sebanyak 198 kawasan dilaporkan berlaku banjir di seluruh negara termasuk banjir kilat di 26 buah kawasan.

Katanya, lain-lain laporan yang dterima juga melibatkan jalan mendap (2) jalan runtuh (2), cerun runtuh (1) manakala tiada laporan diterima berkaitan jambatan rosak.

Justeru katanya, orang ramai boleh layari laman http://bencanaalam.jkr.gov.my/ bagi mengetahui lokasi tepat kawasan banjir serta cadangan melalui jalan pintas lain

“Orang awam juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR untuk melapor dan mendapatkan sebarang maklumat terkini berkenaan bencana terutamanya di sepanjang Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di 03-2610 7727,” tambahnya.

Semalam, media melaporkan Bilik Gerakan Bencana JKR diaktifkan bagi memantau bencana banjir yang berlaku susulan Monsun Timur Laut dan beroperasi 24 jam ekoran amaran banjir sudah berada di tahap merah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here