SUBANG JAYA – Seorang lelaki yang disyaki mencuri jam tangan Rolex dianggarkan bernilai RM64,000 dalam kejadian di sebuah kedai barangan di SS16 di sini pada 23 November lalu berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.40 pagi semasa suspek memasuki premis tersebut dengan berpura-pura sebagai pelanggan.
“Mangsa, seorang wanita tempatan hanya menyedari kehilangan jam tangan mewah itu kira-kira jam 2.14 petang selepas dimaklumkan oleh rakan sekerjanya.
“Kejadian itu telah mengakibatkan pengadu kerugian RM64,000,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Wan Azlan berkata, jam tangan yang dicuri itu jenis Rolex Datejust 36 Oystersteel and Yellow Gold Reference 12633 bernombor siri 63T917K7.
Bertindak atas laporan polis, pada 29 November lalu jam lebih kurang 4.15 petang sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki tempatan.
“Suspek yang tidak bekerja itu telah ditahan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
“Soal siasat awal polis juga mendapati, suspek berusia 44 tahun itu telah menjual jam tangan terbabit di sebuah kedai jual beli barangan berjenama di Kuala Lumpur dengan harga RM25,000.
“Berpandukan atas maklumat suspek, polis berjaya merampas semula jam tangan mewah berkenaan,” ujarnya.
Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau namun tidak dikehendaki.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda atau boleh juga dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini untuk reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.-MalaysiaGazette