Home Utama Nama UPM kekal, Sultan Selangor tak berkenaan cadangan Mohamad Sabu

Nama UPM kekal, Sultan Selangor tak berkenaan cadangan Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan cadangan penukaran semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Baginda bertitah, cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti berkenaan.

“Baru-baru ini beta telah membaca satu kenyataan daripada seorang Menteri, Mohamad Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

“Beta menegaskan nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda.

Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, hari ini.

Pada majlis itu seramai 6,056 graduan pelbagai program pengajian yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 608, Ijazah Sarjana (Master) seramai 1,509 Bachelor (3,934) dan Diploma (5).

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM bertitah, nama Universiti Putra Malaysia juga  mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia,” titahnya

Media melaporkan, menteri berkenaan berhasrat membawa cadangan penukaran nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.

Beliau mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara, namun cadangan itu mencetuskan perdebatan ramai pihak.

Nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian sebaliknya pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat. – MalaysiaGazette

Tukar nama UPM semula ke Universiti Pertanian Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here