KUANTAN – Seorang pemuda meninggal dunia setelah motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Kuantan-Sungai Lembing, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.53 petang.
Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Ninja EX250Y itu dari arah Sungai Lembing menghala ke arah Kuantan.
“Apabila sampai di lokasi tersebut, motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan. Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, mangsa bernama Nicholas Lai Wei Bin disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital terbabit.
Wan Mohd Zahari memberitahu siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian mangsa yang hilang kawalan ke atas motosikalnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette