JOHOR BAHRU – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen tahun lalu.
Tertuduh, S Pathamanaban, 42, dan M Kumar, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki berkenaan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen di Johor Bahru.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Air Molek pada 13 November 2023.
Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.
Mereka boleh dikenakan denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam G K Sritharan dan Tan Meng Khong.
Dalam prosiding itu, Nor Afiqah memohon kepada mahkamah supaya jaminan ditetapkan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Sritharan memohon anak guam serta rakannya dikenakan jaminan lebih rendah kerana masing-masing mempunyai tanggungan tiga anak yang masih bersekolah dan menjaga ibu bapa yang sudah tua.
“Justeru, saya harap mahkamah boleh menawarkan jaminan kurang RM5,000 kepada anak guam dan rakannya,” kata peguam berkenaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang dan menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan kes seterusnya. – MalaysiaGazette