SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tuntutan bayaran 40 peratus kepada Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah akan datang.
Muhyiddin berkata, PN komited untuk melaksanakan janji itu yang tidak pernah dilakukan mana-mana Kerajaan Persekutuan sebelum ini dan sebagai menghormati tuntutan Perlembagaan Persekutuan.
“Panglima kita Kiandee, saya dengar ucapan jurucakap selain pimpinan tinggi, dia jumpa saya. Saya ucap tahniah ucapan hebat tapi ini sudah terkandung MA63, ini kena masuk manifesto PRN.
“Iya kita akan masukkan, pemberita kata Bersatu, PN menjadi satu induk dalam manifesto PN utk PRN Sabah.
“Orang Sabah yang akan sebar luas, ini janji presiden bahawa itu akan kita ditunai dan dilaksanakan,” katanya sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Muhyiddin juga berkata, Bersatu tidak akan berputus asa untuk menang kembali di Sabah selepas parti itu dikhianati wakilnya, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Boleh menang ke saudara, belum lagi menang. Tapi saya nak ucap tahniah Kiandee dia cerita apa sudah terjadi waktu kita pimpinan negara.
“Kita tubuh Bersatu di Sabah. Saya kata mesti Hajiji, rupanya dia pengkhianat sampai tunggang-langgang Bersatu di Sabah. Kita tak putus asa, kita ada panglima kita, semua bahagian sudah dihidupkan kembali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette