KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas cuba mengelak daripada pemeriksaan polis dan dikejar lebih dua kilometer hinga ke Jalan Indah 3, Kampung Ampang, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek warga tempatan berusia 46 tahun itu berjaya ditahan dengan bantuan orang awam di lokasi kejadian.
“Sekitar jam 8.20 malam, pasukan unit peronda (MPV) Polis Daerah Ampang Jaya terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Waja berada dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Bukit Ampang.
“Anggota terlibat kemudian mengarahkan kereta suspek untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan di Jalan Persiaran Ampang, namun suspek enggan dan bertindak melarikan diri.
“Susulan itu, pasukan MPV polis mengejar kereta suspek dengan dibantu tiga lagi MPV polis dan sebaik tiba di Jalan Indah 3, suspek bertindak melanggar sebuah MPV polis.
“Tindakan suspek menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakkan dan terhenti. Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek dengan bantuan orang awam di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azam, hasil semakan mendapati suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menemukan satu beg yang mengandungi sepucuk pistol mainan dan saringan air kencing ke atas lelaki itu didapati negatif.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini dan dikenakan reman selama empat hari hingga 3 Disember depan bai membantu siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 36(1) Akta Senjaya 1960, iaitu memiliki senjata palsu,” jelasnya.
Pada masa sama, Mohd Azam menafikan berlakunya kejadian tembakan membabitkan tangkapan itu seperti mana dakwaan tular di media sosial.
“Kita menafikan berlakunya sebarang kejadian tembak menembak sepanjang sehingga suspek berjaya ditangkap dan orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar bersabit kejadian itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette