SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memujuk institusi perbankan dan pembiayaan kewangan kerajaan agar menangguhkan pembayaran dan cukai kepada mangsa banjir.
Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kerajaan perlu prihatin dengan penderitaan rakyat yang terjejas tempat tinggal dan harta benda akibat bencana alam itu khususnya di Pantai Timur.
“Srikandi ingin memohon kepada Papa (Anwar), saya minta Kerajaan Madani ini kalau boleh pujuk bank-bank atau bincang dengan bank-bank ini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atau Kementerian Usahawan dan Koperasi untuk bagi penangguhan pembayaran seketika kepada mangsa-mangsa banjir.
“Ini termasuk bayaran ansuran pinjaman cukai dan sebagainya untuk seketika sahaja.
“Semalam saya tengok Maybank sudah umumkan, syabas dan tahniah kita nak minta kalau boleh Papa Non tolonglah, janganlah pandai benda lain kalau ini tak boleh nak buat.
“Sebab itu dengan ada sekurang-kurangnya bantuan daripada pihak-pihak bank ini atau mana-mana syarikat permbiayaan yang mempertimbangkan sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan ini, kasihanilah mereka,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Selain itu, Mas Ermieyati turut membidas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang didakwa gagal menguruskan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan baik ketika beberapa negeri di Pantai Timur dilanda banjir ketika ini.
“Menteri Pendidikan tidak menyatakan dengan menyeluruh pendekatan, rangka kerja atau SOP tidak jelas untuk anak-anak yang nak berhadapan dengan peperiksaan di sekolah-sekolah.
“Malah tempat yang sama menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula tenggelam akibat banjir,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya mahu Fadlina memberi penjelasan tindakan KPM untuk mengumpulkan kesemua calon SPM jika peperiksaan itu mahu diteruskan dan tidak mahu membuat penangguhan.
“Bersatu nak tahu apakah perancangan KPM tentang calon SPM dalam banjir ini, rakyat nak tahu apa yang perlu dibuat, contohnya 136 calon SPM, SMK Meranti duduk berterabur, macam mana nak cari mereka.
“Sekolah yang patut mereka nak peperiksaan esok, esok hari nak mula SPM dah pun paras pinggang, KPM tak buat apa lagi, KPM tak menentukan SOP yang jelas.
“Tak macam dulu, masa menteri kita jaga waktu Covid-19 memang ada buat penangguhan SPM,” katanya.
Sebalikya Mas Ermieyati menggesa Fadhlina mencontohi kepimpinan Datuk Mohd Radzi Jidin yang juga bekas Menteri Pendidikan kerana membuat perancangan lebih awal untuk pelajar-pelajar bagi menghadapi bencana sebelum ini.
“Saya nak puji Datuk Dr Radzi Jidin, dia dah nampak benda itu akan berlaku, dah buat SOP jelas teratur dan tidak menyusahkan ibu ayah dah boleh buat pertimbangan dan kira-kira.
“Ini menteri dah tahu bulan 11 bulan 12 nak banjir tapi pukul 10.45 pagi baru nak buat PC (sidang media), macam ini ke menteri madani…ketimbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette