KLUANG – Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan seorang lelaki serta seorang anak lelakinya cedera parah dalam kemalangan dua bulan lalu.
Chung Henry, 18, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut Pertuduhan, tertuduh pada pukul 4.10 petang, 23 Oktober lalu bertempat di Jalan Persiaran Seri Impian, Taman Sri Impian, di sini, memandu kereta jenis Hyundai Santa FE di jalan tersebut dengan berbahaya sehingga menyebabkan pemandu kereta Perodua Bezza cedera parah.
Dia turut dituduh atas pertuduhan yang sama kerana menyebabkan penumpang hadapan kenderaan sama mengalami kecederaan parah.
Tertuduh yang juga pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, di sini, didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad yang mengendalikan pertuduhan memohon ikat jamin dikenakan sebanyak RM20,000.
Bagaimana pun, tertuduh yang diwakili Peguam Lim Chin Huat daripada Tetuan Lim Chin Huat & Co merayu wang ikat jamin dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan tertuduh adalah seorang pelajar sekolah selain tiada pendapatan tetap kerana belum bekerja.
Majistret Mustaqim Sukarno kemudiannya menetapkan 2 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan lesen memandu kepada pihak mahkamah dan digantung sehingga selesai perbicaraan selain melapor diri kepada balai polis berdekatan sebulan sekali.- MalaysiaGazette