Mohd Hairi dalam sesi pergulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menjadikan Johor sebagai tuan rumah bagi acara sukan bola sepak sempena Sukan SEA 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, titah perkenan baginda disampaikan semasa sesi mengadap Khamis lalu.

Bagaimanapun lokasi stadium yang akan digunakan bagi acara tersebut masih peringkat perbincangan.

“Pemangku Sultan Johor perkenan Johor menjadi tuan rumah acara bola sepak pada Sukan SEA 2027.

“Insya-Allah atas perkenan Pemangku Sultan Johor, saya menjunjung titah dan menjunjung kasih atas kepercayaan ini. Saya dan pasukan akan menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar acara bola sepak dipertandingkan di Johor pada Sukan SEA 2027.

“Bagaimanapun berkaitan lokasi dan perincian kos, ianya akan ditetapkan selepas Mesyuarat di peringkat Sukan Negeri Johor (MSN) dan pihak Sekteriat Sukan SEA 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi pergulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Hairi memaklumkan pihaknya mencadangkan beberapa stadium sebagai lokasi acara sukan berkenaan termasuklah Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Beliau dilaporkan berkata, empat lokasi yang dikenal pasti termasuklah SSI; Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin; Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast