KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak pernah mengesampingkan jauh sekali meninggalkan bidang pertanian meskipun nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia pada April 1997.
Malah, Presiden Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama), Norsyahriman Md. Arif berkata, bidang pertanian sentiasa diangkat sebagai antara fokus terpenting UPM dalam usaha menjadi sebuah universiti terkemuka dan bereputasi antarabangsa.
Jelas beliau, setiap kali pelan strategik dan matlamat UPM dibincang dan dibentang, agenda memperkasakan pertanian tidak pernah tercicir.
“Kedudukan UPM dalam QS World University Ranking yang saban tahun meningkat juga adalah bukti jelas UPM pada hari ini berada dalam landasan yang terbaik untuk terus berperanan menyejahterakan dan memakmurkan kehidupan rakyat khususnya dalam konteks pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas mengenai polemik cadangan menukar nama UPM kepada nama asal iaitu Universiti Pertanian Malaysia yang dibangkitkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu baru-baru ini.
Bagaimanapun, cadangan Mohamad itu tidak diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut bertitah, ia juga tidak kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti berkenaan.
Artikel berkaitan: Tukar nama UPM semula ke Universiti Pertanian Malaysia
Sementara itu, Norsyahriman berkata, sekiranya nama UPM dikembalikan kepada asal, ia akan menyebabkan pentadbiran universiti berdepan dengan kos tinggi.
Tambahnya, dalam keadaan kewangan universiti yang tidak mengizinkan, sebarang perbelanjaan yang dilihat tidak penting amat wajar dielakkan sama sekali.
“Di samping itu dengan hanya menukar nama, tiada sebarang jaminan pun segala isu yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan dalam negara akan selesai,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan mana-mana anggota pentadbiran kerajaan atau ahli-ahli politik akan lebih berhati-hati dalam melontarkan sebarang pandangan mengenai UPM.
“UPM adalah milik rakyat Malaysia dan antara aset berharga dalam negara.
“Pandangan, cadangan atau komen yang kurang cermat akan berisiko untuk merencatkan usaha UPM ke arah melahirkan anak bangsa dan graduan bitara yang holistik,” katanya. – MalaysiaGazette
Nama UPM kekal, Sultan Selangor tak berkenan cadangan Mohamad Sabu