ISKANDAR PUTERI – Buriram United FC akan berusaha dan nekad untuk tidak pulang dengan tangan kosong semasa berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam esok.
Pengendali Buriram United FC, Osmar Loss berkata, pihaknya sudah mencongak strategi untuk menang sekiranya berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur selepas mengumpul tujuh mata menyamai mata diperolehi JDT.
Pengendali kelahiran Brazil itu berkata, kemenangan amat penting bagi membolehkan pasukan bangkit setelah merekodkan dua kekalahan berturut-turut kepada kelab daripada Jepun, Kawasaki Frontale (0-3) dan Yokohama F Marinos (0-5).
“Justeru, pertembungan malam esok amat penting dan kami mengharapkan sesuatu yang berbeza, lagipun ia bukanlah mudah menewaskan JDT di gelanggang sendiri.
“Aksi ini tidak ubah pentingnya seperti perlawanan final setelah kedua-dua pasukan mahu bangkit daripada kekalahan dalam perlawanan terdahulu dan mencari tiga mata berharga sebagai bekalan selesa untuk ke pusingan seterusnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) 2024, JDT FC Lawan Buriram United di Bilik Sidang Media Stadium Sultan Ibrahim hari ini.
Sedar dengan kualiti yang dimiliki Harimau Selatan, Osmar Loss mahu pemain memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit permainan kerana percaya pasukan tuan rumah yang dibarisi pemain berkualiti mampu mencipta kejutan pada bila-bila masa.
“Kami tidak memberi tumpuan spesifik kepada pemain tertentu namun cuba mengekang pergerakan mereka secara sepasukan, kita tidak boleh memberi mereka ruang untuk bermaharajalela,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan, Dion Cools yang juga pemain warisan Harimau Malaya mengingatkan rakan sepasukan supaya lebih berwaspada dengan corak permainan pantas Harimau Selatan sepanjang perlawanan.
“Saya mengenali beberapa pemain mereka, saya kira ia sedikit sebanyak membantu jurulatih (Osmar Loss) untuk lebih berhati-hati, boleh jadi pasukan JDT akan tampil dengan corak permainan berbeza.
“Secara keseluruhan, JDT adalah pasukan yang hebat dan kami harus meningkatkan rentak permainan bagi menyaingi mereka yang terkenal melakukan serangan pantas,” ujarnya.- MalaysiaGazette