Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ditemui media pada program pelupusan barangan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seramai 34 orang telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, buat masa ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihaknya masih melengkapkan kertas siasatan.

“Setakat ini, 34 orang telah dirakam percakapan antaranya melibatkan pegawai perubatan, jurulatih termasuk pelajar-pelajar yang terlibat dan juga pengadu.

“Kita juga akan memanggil beberapa individu bagi memberi keterangan dan apabila siasatan siap, ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas program pelupusan barangan kes di sini hari ini.

Mengenai dakwaan ibu bapa mangsa yang kematian anak mereka akibat didera selain dipaksa melakukan pelbagai aksi, Mohd Iqbal berkata, ia hanya andaian.

“Kes masih dalam siasatan dan kita terima laporan berhubung kes ini pun selepas semua urusan dah selesai di hospital dan mayat juga telah dikebumikan.

“Selepas dua hari baru pihak keluarga datang nyatakan ada unsur penderaan, buli dan sebagainya. Jadi saya minta beri masa pada polis untuk menjalankan siasatan,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kematian pegawai kadet Palapes UiTM berpunca daripada strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.01 pagi pada 13 November lalu dan kes diklasifikasikan sebagai SDR.

Katanya, IPD Shah Alam menerima laporan dari bapa mangsa pada 15 November menyatakan menerima panggilan daripada Hospital Shah Alam pada 10 November lalu bahawa anaknya dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, pengadu dimaklumkan rakan anaknya bahawa kejadian berlaku semasa sesi latihan di padang kawad yang diambil oleh seorang jurulatih PALAPES UiTM Shah Alam.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here