KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada universiti-universiti terjejas banjir meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian khususnya di Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, KPT sentiasa memberi ruang dan sentiasa fleksibel memastikan sesi pengajian berjalan lancar apatah lagi ketika musim banjir.
“Kalau ada kawasan-kawasan yang terjejas disebabkan banjir, mereka boleh belajar dalam talian, kita sangat fleksibel untuk menyediakan ruang.
“Sekarang ini kaedahnya pelbagai untuk mereka dapatkan (pembelajaran) bukan satu itu (secara bersemuka). Setakat ini kita buat (dalam talian) di universiti dalam kawasan terlibat banjir macam Kelantan dan Terengganu.
“Kita bagi fleksibiliti kepada universiti untuk (meneruskan kelas), mereka tahu apa yang nak dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Terdahulu beliau dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara KPT dengan Kementerian Pertahanan.
Selain itu, Zambry berkata, KPT menyediakan pelbagai bantuan kepada pelajar universiti yang terjejas banjir untuk ditempatkan semula bagi memastikan pembelajaran mereka dapat diteruskan seperti biasa.
“Kita sudah bincang pagi tadi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KPT), ini termasuk juga kita menyediakan bantuan-bantuan (pendidikan) dan kita ada Skuad Ihsan Madani di setiap universiti.
“Kita juga minta universiti yang terlibat supaya mereka mengenal pasti sejauh mana kesan kepada pelajar-pelajar yang (banjir), sekarang ini mereka berada di kampus masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette