KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi bakal memperkenalkan Inisiatif Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), Inisiatif Program Komuniti Tertumpu dan Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP) bermula tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiga inisiatif itu bertujuan meningkatkan taraf akademik anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 1,000 anggota ATM daripada pelbagai kepakaran akan menerima manfaat menjelang 2025.
“WBL mampu menjana peluang kerjaya kedua dan kebolehpasaran dalam lingkungan kerja bagi anggota ATM setelah bersara.
“Kebanyakan anggota yang menyertai ATM bermula dari peringkat kadet hanya memiliki kelulusan akademik setakat SPM sahaja. Mereka ini mempunyai kemahiran dan kepakaran tertentu sepanjang 20 tahun perkhidmatan dengan ATM.
“Melalui inisiatif ini, kepakaran dan pengalaman kerjaya yang dimiliki anggota ATM akan diiktiraf kepada akreditasi akademik setaraf sekurang-kurangnya diploma,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara KEMENTAH dan KPT di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Majlis menandatangani MoU bagi inisiatif WBL berlangsung antara Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman dengan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib.
Inisiatif Program Komuniti Tertumpu pula berlangsung antara Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.
Menurut Mohamed Khaled, kerajaan juga telah meluluskan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan tiga inisiatif tersebut dan mengenal pasti 10 program diploma untuk ditawarkan kepada anggota-anggota ATM yang sedang dalam perkhidmatan.
“Setakat ini, hasil perbincangan dengan UiTM, UTHM dan UPNM, kita sudah mengenal pasti 10 program diploma. Seramai 236 anggota ATM sudah dikenal pasti dan akan ditawarkan kepada mereka yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.
“Ia melibatkan enam perjawatan termasuk tukang masak, pramusaji, pembantu pegawai agama pasukan, kerani/ penyelia pejabat, jurulatih jasmani dan geospatial/penyelia imajeri/hidrografi,” katanya.
Selain itu, katanya, MINDEF juga sedang mengenal pasti anggota ATM lain yang layak untuk ditawarkan mengikut program lima program diploma di Universiti DRB-Hicom dalam bidang kejuruteraan.
“Mereka yang ditawarkan nanti dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja, Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja. Setakat ini kuota bagi enam program ini belum dimuktamadkan,” katanya.
Di samping itu, katanya, pihaknya akan memperkenalkan Program Komuniti Tertumpu: Pendidikan dan Latihan bagi Pembangunan BAKAT Suri Rumah, Anak-anak dan keluarga ATM.
“Program ini merupakan satu bentuk Projek Inovasi Sosial dalam kem-kem ATM. Kita akan meneroka cara dan peluang mewujudkan program yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi warga kem-kem tentera menerusi pemindahan ilmu daripada institut pengajian tinggi (IPT).
“Suri rumah dan anak-anak keluarga ATM di kem-kem tentera akan menikmati manfaat hasil kolaborasi Yayasan LTAT dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan kolej komuniti,” katanya.
Katanya lagi, program ini menyasarkan penglibatan seramai 500 hingga 1,000 peserta dalam kalangan anak-anak warga ATM dan ahli BAKAT (Badan Kebajikan Angkata Tentera).
“Ia akan dijalankan secara berperingkat dimulai dengan fasa rintis di kem-kem di Selangor dan juga Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Sasaran kita adalah memberi peluang dan pendedahan kemahiran serta membantu usaha menjana pendapatan secara tersusun kepada isteri dan anak-anak warga ATM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette