KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diminta untuk mengagihkan peruntukkan RM12 juta untuk mangsa banjir dengan secepat mungkin.
Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini susulan keadaan banjir di negeri-negeri terjejas semakin mendesak.
“Kami tidak mahu lewat dalam memberi bantuan jadi kami mahu sumbangan itu disalurkan dengan segera.
“Jumlah ini besar jadi kami mahu bantuan sampai dan dapat digunakan sebaik mungkin oleh mangsa banjir.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Program Bijak Bestari Kampung Bharu di Menara Tabung Haji Tun Razak, di sini, hari ini.
Dalam majlis itu , Lembaga Tabung Haji (TH) turut menyumbang sebanyak RM159,700 untuk membantu sebanyak 100 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dari kalangan asnaf.
Pelancaran itu bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar selain menyokong usaha Kerajaan melalui inisiatif Kampung Angkat Madani.
“Program anjuran TH ini akan berlangsunh dari 5 Oktober hingga 14 Disember ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti kelas tuisyen, kem motivasi dan seminar pembelajaran.
“Secara tidak langsung, masalah keciciran pembelajaran dapat diatasi dan sekaligus menambah semangat serta motivasi pelajar kurang berkemampuan untuk terus menuntut ilmu.
“Semoga program ini dapat melahirkan modal insan yang serba boleh dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette