KUALA LUMPUR – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan pemegang saham termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) serta 11 bank supaya memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1.00 di mesin juruwang automatik (ATM).
Menurut Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), mengenakan fi terhadap individu yang kerap menggunakan ATM di luar rangkaian perbankan bukan sahaja tidak adil malah memberi cabaran kewangan.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, kos tambahan RM1 bagi setiap transaksi tanpa disedari akan semakin bertambah dengan pantas dan akan menjejaskan sumber mereka yang sudah sedia terhad.
Menurut Solomon, NUBE telah menulis kepada BNM dan bank-bank komersial lain untuk meminta mereka menasihatkan PayNet supaya menghapuskan atau mengecualikan bayaran fi.
“Pendirian NUBE merupakan tanggungjawab moral PayNet dan pemegang sahamnya, selain tanggungjawab sosial korporat dan ESG lestari demi kepentingan rakyat dan negara untuk mengetepikan fi RM1 ini bagi semua pelanggan dalam kumpulan pendapatan lebih rendah.
“Walaupun ada yang membalas surat ini daripada BNM dan sesetengah bank, tidak satu memberikan komitmen tegas bahawa fi RM1 itu akan diketepikan.
“Kami menggesa PayNet dan bank-bank supaya mementingkan empati dan tanggungjawab sosial dalam operasi mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Solomon, pihak bank tidak patut mengenakan beban tambahan terhadap anggota masyarakat yang paling lemah ketika negara bergerak ke arah pemulihan ekonomi.
Tambah beliau, ketika pandemik Covid-19, PayNet mengumumkan pengecualian fi RM1 pada 3 April 2020 kerana mengiktiraf beban kewangan dihadapi ramai orang Malaysia.
“Bagaimanapun pada Februari 2022, fi ini dikenakan semula seterusnya meletakkan bebanan kewangan tambahan kepada mereka yang bergantung kepada mesin ATM untuk mengeluarkan wang.
“NUBE percaya majoriti pelanggan terkesan dengan fi ini adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah termasuk sejumlah besar ahli NUBE yang sedang bergelut memenuhi keperluan keluarga,” katanya.
Solomon berkata, adalah penting untuk memupuk persekitaran perbankan inklusif yang menyokong semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang menghadapi kesukaran hidup.-MalaysiaGazette