BATU PAHAT – Polis menahan seorang lelaki kerana terlibat mencuri duit tabung surau dan masjid sekitar kawasan Semerah dan Parit Yaani di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, perbuatan suspek terdedah selepas hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah surau yang dimuatnaik melalui aplikasi TikTok.
“Kejadian dianggarkan berlaku sekitar pukul 1.49 pagi pada 23 November lalu apabila seorang lelaki didapati berlegar dalam sebuah surau sebelum mengumpil tabung derma dalam surau berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dan hasil risikan, polis berjaya menahan suspek di sekitar kawasan Parit Sulong pukul 12 tengah hari, pada 25 November lalu,” katanya dalam kenyataan.
Video berkenaan kejadian tersebut tular dalam medial sosial memaparkan seorang lelaki memakai seluar pendek paras lutut dan beg pinggang berlegar-legar dalam surau dan mencuri duit tabung dipercayai dalam sebuah surau.
Katanya, suspek merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun, polis turut merampas pakaian yang digunakannya ketika melakukan perbuatan itu sepertimana paparan dalam CCTV.
Shahrulanuar Mushaddat berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berhubung kejadian berkenaan daripada pihak pengurusan surau dari kawasan berkenaan.
Beliau percaya penahanan itu dapat menyelesaikan lima kes lain melibatkan suspek yang sama dalam kejadian curi duit tabung surau dan pecah rumah di sekitar kawasan berkenaan.
Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu katanya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan polis.
Tambahnya, mereka boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat 07-4343999.- MalaysiaGazette