BALIK PULAU – Seorang lelaki tidak serik menjalankan kegiatan memproses dan menjual air daun ketum telah ditahan buat kali ketujuh bersama bahan terlarang itu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya menahan suspek berusia 58 tahun di sebuah rumah di Kuala Jalan Bahru, Mukim D di sini semalam.
“Hasil serbuan membawa kepada rampasan 600 bungkus air ketum yang telah siap untuk diedarkan bagi pasaran sekitar negeri ini bersama daun ketum serta peralatan memasak bahan tersebut.
“Siasatan juga mendapati sebungkus air ketum dijual pada harga RM10 kepada penduduk setempat.
“Selain itu, suspek turut menjalankan perniagaan menjual buah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini.
Tambah Sazalee, semakan lanjut turut mendedahkan suspek mempunyai lapan rekod lampau termasuk enam daripada membabitkan tangkapan penjualan air ketum.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 5 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – MalaysiaGazette