KUALA LUMPUR – Perkongsian gambar terdapat calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mangsa banjir bermalam di tempat yang tidak selesa disifatkan sebagai tidak adil kepada pelajar terbabit.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, melihat keadaan calon terbabit yang terpaksa baring di atas tikar tanpa tilam sebelum hari peperiksaan merupakan satu bentuk ketidakadilan kepada mereka.
Ini kerana dengan keadaan begitu calon berkenaan tidak dapat mengulangkaji dalam keadaan yang selesa berbanding calon-calon SPM yang tidak berhadapan dengan bencana banjir.
“Kalau benda ini betul yang berhormat (YB) menteri, ini tidak adil kepada mereka. Sedangkan mereka ini nak kena jawab soalan takkan nak tempat anak-anak di surau begini rupa yang beralaskan tikar sahaja.
“Sudah tentu mereka ini tidak selesa dan bagaimana mereka hendak ulangkali yang berhormat menteri? Ini sangat-sangat tidak adil untuk mereka.
“Sedangkan calon SPM di tempat yang tidak banjir, duduk dekat rumah selesa, duduk atas tilam, ada selimut, boleh ulangkaji dengan selesa sudah tentu boleh jawab dengan selesa. Tapi adik-adik ini dengan keadaan sebegini rupa,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Dalam klip video tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkongsi calon mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah surau di Tumpat bagi menghadapi menduduki ujian lisan bahasa Melayu yang bermula hari ini.
Beliau meminta supaya Fadhlina mengkaji semula tindakan itu dan mempertimbangkan untuk menunda peperiksaan SPM.
“YB menteri saya mohon tengok semula perkara ini, kalau tidak mampu nak sedikan keselesaan tangguhkan dulu peperiksaan SPM sehingga semua selesai, buat balik.
“Saya melihat dari sudut ketidakadilan kepada calon-calon SPM, anak-anak tak dapat tempat yang selesa untuk buat ulangkaji dan belajar.
“Tolong tengok cadangan ini, kalau tak mampu nak bagi tempat yang paling selesa tangguh dahulu,” rayu Dr. Muhamad Akmal.
Terdahulu, media melaporkan masih terdapat calon SPM 2024 yang didakwa terkandas dibawa keluar dari kawasan masing-masing bagi menduduki ujian lisan bahasa Melayu yang bermula hari ini sehingga 5 Disember.
Fadhlina hari ini berkata, perjalanan calon SPM yang menduduki ujian lisan Bahasa Melayu pada hari ini di seluruh negara berjalan dengan lancar.
Beliau berkata, tidak ada calon SPM termasuk di negeri terjejas akibat banjir, tercicir daripada menduduki peperiksaan itu.
Katanya, proses pemindahan pelajar-pelajar di negeri-negeri terjejas banjir berjaya dilaksanakan dan kini mereka telah ditempatkan di asrama yang jauh lebih baik dan kondusif.
Segala kemudahan asrama telah dilengkapi dengan semua kapasiti seperti buku-buku, akses kepada komputer dan Internet serta makanan.
Seramai 402,956 calon berdaftar akan menduduki peperiksaan SPM 2024 yang bermula 2 Disember sehingga 6 Februari 2025.-MalaysiaGazette