Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Seramai 122,062 murid atau 27.24 peratus dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) berdasarkan hasil saringan pengesanan awal literasi dan numerasi terhadap 448,113 murid Tahun Satu.

Penemuan yang diperoleh selepas yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) seawal tiga bulan selepas mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesi akademik 2024/2025.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, murid berkenaan mengikuti Program Intervensi Tahun Satu Fasa Satu dan diberi bimbingan secara berfokus melalui pendekatan pengajaran yang lebih intensif dari Julai hingga September lalu.

“Berdasarkan analisis data yang berakhir pada 30 Oktober 2024, seramai 48,308 murid (39.58 peratus) berjaya menguasai kemahiran asas 3M,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Murid ini kembali mengikuti PdP di kelas biasa manakala 73,754 murid (60.42 peratus) yang belum mencapai tahap penguasaan meneruskan intervensi untuk Fasa Dua untuk tempoh tiga bulan (Oktober sehingga Disember).

“Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M selepas menjalani intervensi Fasa Dua, mereka akan dicalonkan untuk mengikuti intervensi dalam Program Pemulihan Khas yang dilaksanakan guru pemulihan apabila di Tahun Dua, yang menyediakan bimbingan secara intensif untuk memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya hingga mampu mencapai tahap literasi dan numerasi yang diharapkan,” katanya.

JAwapan bertulis itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai status semasa pelaksanaan Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran.

Fadhlina berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita yang diterajui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah bertujuan menangani isu keciciran pembelajaran dengan fokus khusus kepada peningkatan tahap literasi dan numerasi dalam kalangan murid tahun dua hingga enam.

Usaha itu membabitkan seramai 53,252 murid daripada 1,288 sekolah rendah di tujuh negeri, iaitu Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak dengan RM100 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program itu pada tahun ini dan tambahan RM30 juta lagi bagi 2025.

“KPM komited dalam memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan terus dipantau dan diperbaiki dari semasa ke semasa demi kebaikan guru dan murid di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here