MELAKA – Seorang bomoh dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 13 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan kononnya bagi mengubati sihir pada tahun lalu.
Tertuduh, Zemi Rahim, 51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut empat pertuduhan itu, Zemi didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun 2 bulan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan taman perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng.
Kesalahan itu masing-masing dilakukan pada awal, pertengahan dan akhir September serta 9 Oktober 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah datang ke rumah mangsa bagi tujuan mengubati ibu saudaranya namun memberitahu ibu mangsa berusia 48 tahun anaknya juga kononnya mempunyai pendamping.
Tertuduh kemudian telah datang ke rumah mangsa pada kira-kira 12.30 malam awal September 2023 dan mahu mengubatinya di kawasan Malim sebelum mangsa mengikuti tertuduh yang ditemani bapa saudaranya.
Sebaik tiba di kawasan semak, tertuduh meminta bapa saudara mangsa membeli air sirap dan nasi ayam dengan alasan untuk memberi makan kepada makhluk halus yang mendampingi mangsa.
Dalam tempoh itu, mangsa dicabul menyebabkannya mangsa takut untuk menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.
Tertuduh terus mengulangi perbuatan sama pada hari lain seperti pertuduhan sehingga mangsa tidak tahan dan menceritakan semua perbuatan tertuduh terhadapnya sebelum ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin dalam hujahannya memohon hukuman setimpal kerana pada masa kejadian mangsa hanya berumur 16 tahun dan masih bersekolah selain telah meninggalkan trauma kepadanya.
Perbuatan tertuduh terhadap mangsa sebanyak empat kali juga menunjukkan tertuduh dengan sengaja mengambil kesempatan terhadap faktor fizikal mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan bapa kepada empat anak bagaimanapun memohon hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 13 sebatan bagi kesemua empat pertuduhan.
Hukuman penjara diarah berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman 15 tahun penjara. – MalaysiaGazette