Ka Siong dan Zhemin bertegang urat berhubung isu SJKC pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada sesi petang menyaksikan dua ahli Parlimen kerajaan bertegang urat gara-gara isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Memetik satu hantaran di Facebook pada November lepas, Chong Zhemin (PH-Kampar) mendakwa, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menyatakan isu berkaitan SJKC tidak oleh dibahaskan di Parlimen.

Bagaimanapun kata beliau, bekas Menteri Pengangkutan itu sebaliknya, telah berbahas isu berkenaan di Parlimen hari ini.

“Tadi Ayer Hitam telah bahas tentang SJKC, ini bermakna isu SJKC memang boleh dibahas dalam Parlimen, sebab pada 11 November dia telah buat satu posting di Facebook bahawa isu SJKC tak boleh bahas dalam Parlimen.

“Saya nak bagitahu sama ada sebelah sana atau sebelah sini atau pihak yang duduk belah tengah-tengah…macam Ayer Hitam, jangan sesekali nak menghina Dewan. Kita mungkin ada pandangan berbeza daripada Kementerian Pendidikan.

“Ayer hitam kata tak boleh bahas isu SJKC di Parlimen…hari ini dia sendiri telah mengatakan pada November dia buat posting di luar.

“Isu SJKC tak boleh bahas di Parlimen…ini satu tuduhan yang serius, Tapi hari ini dia sendiri telah mengatakan bahas isu ini di Parlimen dan speaker tak halang dan tak nampak mana-mana ahli Parlimen halang dia bahas isu SJKC,” katanya.

Mendengarkan tuduhan itu, Ka Siong bangkit menggunakan peraturan mesyuarat 36 (12) sambil berkata, kenyataan yang dibuat oleh Zhemin telah mengelirukan Dewan.

Jelas beliau, apa yang dikatakan oleh beliau sebelum ialah apabila perkara itu hanya dijawab secara bertulis sebanyak lapan kali tanpa ada jawapan lisan secara terus.

“Saya kata, takkanlah lapan kali tak ada jawapan secara terus menerus seperti kita berinteraksi. Saya yakin menteri akan beri jawapan kepada saya…no issue (tiada isu)

“Saya pun tak bangkit…tetapi yang dia (Zhemin) kata tak boleh bahas di sini, saya sarankan dia belajar Bahasa Melayu lagi, balik ke sekolah.

“Tengaok balik hansard apa yang saya cakap. Saya kata ada bezanya kalau saya dapat jawapan (secara terus) saya tak boleh argue sebab saya dekat rumah dan Dewan tak buka lagi sidang. Sebab itu kalau tak faham bahasa belajar lagi di sekolah,” katanya dalam nada berang.

Zhemin kemudian bangun dari tempat duduknya dengan mengatakan perkara sama kepada Ka Siong agar beliau turut belajar semula.

“Ayer hitam boleh balik belajar..

“Saya rujuk Ayer Hitam bagi posting dia kata isu SJK tak boleh bahas di Parlimen. Ini ada terang-terang di Facebook Wee Ka Siong. Ini tipu ke apa…boleh balik check jangan pusing-pusing,” ujarnya.

Situasi yang berlaku telah menyebabkan ahli-ahli Parlimen pembangkang campur tangan dengan ada yang menyindir sikap yang ditunjukkan oleh kedua-dua ahli Parlimen Kerajaan itu.

“Ini apa sama-sama ahli Parlimen kerajaan berkelahi, buat malu saja,” kata Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

“Saya cadangkan agar diberi masa tambahan kepada kedua-dua ahli parlimen kalau nak bergaduh,” sindir Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pula.

Ka Siong kemudian sekali lagi meminta agar Zhemin merujuk semula kenyataannya sebelum ini tanpa membuat spekulasi yang boleh mengaitkan dirinya dengan perkara tersebut.

Keadaan yang hangat itu kembali reda setelah Suhaizan Kayat yang mengendalikan sidang dewan meneruskan mesyuarat dengan memberikan laluan kepada Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) untuk berbahas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here