KUALA LUMPUR- Tentera Darat Malaysia memaklumkan, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmizi yang hilang dibawa arus dalam kejadian kepala air semasa melakukan operasi di kawasan hutan Royal Belum, masih belum ditemukan.
Sehubungan itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar anggota Komando dari Kem Iskandar, Mersing itu berjaya ditemukan segera dalam keadaan selamat.
“Kejadian berlaku pada 30 November 2024 sekitar jam 8 pagi di mana satu laporan telah diterima memaklumkan bahawa terdapat 9 anggota dipercayai telah dibawa arus dalam kejadian Kepala Air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di Banding, Perak,” kata Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan malam ini.
Katanya, dalam kejadian tersebut dua anggota telah hilang yang mana salah seorang daripadanya iaitu Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin disahkan meninggal dunia manakala tujuh lagi ditemukan selamat.
Menurut kenyataan itu lagi, jenazah komando dari Kem Sungai Udang, Melaka itu berjaya ditemukan jam 6 petang, 1 Disember lalu.
“Jenazah Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak telah ditemui di tepi sungai kira-kira 3 kilometer dari kedudukan Markas Trup dan disahkan telah meninggal dunia ketika ditemui oleh pasukan SAR.
“Manakala LKpl Ahmad Zulhilmi bin Ahmad Tamizi yang berasal dari Kampung Padang Limau, Sungai Petani Kedah masih belum ditemui sehingga kini.
“Kedua-dua anggota yang hilang masih belum berkahwin,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Anggota tentera lemas, seorang lagi masih hilang dibawa arus