KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin melahirkan kekhuatiran terhadap pindaan-pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang akan menambahkan lagi cabaran terhadap kebebasan bersuara amnya dan kebebasan kewartawanan khususnya.
Beliau yang juga Tokoh Wartawan Negara kesembilan itu berkata, pindaan-pindaan tersebut jika diluluskan akan memberi ruang bagi kerajaan mewujudkan Ketua Penapis (Censor-General) yang sangat berkuasa.
Sementelah, ketika ini juga, tambahnya, sudah dapat dilihat bagaimana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak sebagai penapis bagi pihak kerajaan.
“Melainkanlah kerajaan Malaysia Madani tidak peduli kepada pandangan dan penarafan antarabangsa, ia tentu tahu yang kebebasan media negara kita semakin dicurigai.
“Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media oleh Wartawan Tanpa Sempadan merudum daripada nombor 73 dalam dunia pada tahun 2023 kepada 107 tahun 2024.
“Skor pula merosot secara berterusan daripada 66.88 mata pada 2020 kepada 52.07 tahun ini.
“Dalam kalangan sembilan orang yang telah dan sedang menjadi Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim terkenal sebagai yang paling lantang bersuara mengenai kebebasan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan keilmuan dan toleransi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu, Kadir menyokong dan merestui memorandum Membantah Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta akta-akta lain yang menyekat kebebasan bersuara.
Beliau berdiri bersama rakan-rakan dalam Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berhubung isu terbabit.
“Saya memohon dan meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada Parlimen Malaysia, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Menteri Komunikasi dan Kerajaan Malaysia untuk menghormati Perlembagaan khususnya hak bersuara,” katanya.
Sebelum ini, NUJM, CIJ dan GERAMM menuntut penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ketiga-tiga persatuan itu meminta menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan berikutan terdapat desas-desus menyatakan syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan. – MalaysiaGazette