Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA – Dua negeri iaitu Pahang dan Johor digesa bersedia bagi menghadapi banjir gelombang kedua pada minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan kepada maklumat terkini bahawa akan berlaku uluran hujan menuju ke selatan tanahair daripada negeri-negeri yang berlaku banjir seperti di Kelantan dan Terengganu.

“Untuk gelombang kedua yang diunjurkan mulai pada 8 Disember dan berakhir 14 Disember kesiapsiagaan melebihi daripada kesiapsiagaan sebelum ini kerana kita telah mengadakan simulasi jangkaan itu sebelum gelomnan pertama.

“Kita harap negeri Pahang dan Johor bersiap sedia kerana uluran hujan akan turun ke Pahang dan Johor dan air daripada sungai yang datang daripada Terengganu akan juga turun ke Pahang dan kemudiannya turun ke Johor,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi dan Kualiti KKDW di Dewan Seri Lestari, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke luar bandar bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Untuk Orang Asli kita telah menggerakkan di semua kawasan yang terjejas dan kita bantu malah di kawasan Felda dan FELCRA, RISDA dan wilayah-wilayah.

“Kita juga telah menggerakkan semua jentera dan aset dan yang paling penting ialah ada kumpulan sukarelawan yang akan bantu di kawasan berkenaan,” kata Ahmad Zahid.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banjir besar yang berlaku di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu ketika ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berterusan lebih enam jam.

Katanya, hujan juga adalah dua kali ganda daripada purata hujan biasa dan ditambah dengan keadaan air pasang besar.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin meramalkan akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat di Kelantan dan Terengganu bermula Selasa hingga esok.

Keadaan itu ditambah dengan luruan monsun dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember ini menjadi punca hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here