Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menghadapi tuduhan berat dalam laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Perkara ini telah mendapat liputan meluas oleh pihak media, dengan pelbagai spekulasi dan analisa yang memberikan gambaran negatif dan tidak tepat mengenai organisasi tersebut.
Laporan-laporan The Edge yang bertajuk “PAC flags dubious property deals by HRD Corp” dan “Frankly Speaking: Total breach of governance at HRD Corp” serta The Malaysian Insight dan The Vibes pula bertajuk “HRD Corp fails audit, mishandling of funds revealed” telah membuat tuduhan berat terhadap HRD Corp tanpa sebarang asas.
Walau bagaimanapun, adalah difahamkan HRD Corp diminta untuk tidak mempertikai laporan-laporan media tersebut ataupun mengeluarkan sebarang kenyataan balas atas sebab prinsip menghormati kebebasan media dan memberi ruang untuk siasatan dijalankan dengan adil dan telus tanpa dipengaruhi oleh kenyataan atau tindakan HRD Corp.
Namun begitu, setelah lebih lima bulan masa berlalu, HRD Corp tidak didakwa atas apa-apa kesalahan. Manakala siasatan dalaman serta audit luaran juga tidak membuktikan sebarang kesalahan oleh HRD Corp.
Bila terbukti HRD Corp tidak didakwa atas apa-apa kesalahan maka langkah ini wajar dikaji dan HRD Corp wajar diberi hak untuk mempertahankan reputasinya. Ini kerana, sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan menguruskan dana levi, persepsi negatif daripada tuduhan-tuduhan ini akan menghancurkan keyakinan pemegang taruh dan masyarakat terhadap keupayaan HRD Corp untuk menguruskan wang dana majikan dan pemain industri dengan baik.
Ketiadaan jawapan dari HRD Corp sehingga hari ini telah pun menimbulkan spekulasi liar yang berpotensi melemahkan keyakinan pihak berkepentingan, termasuk majikan yang menyumbang dana kepada badan ini.
Tidak dinafikan yang arahan supaya HRD Corp tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menuduhnya boleh mengukuhkan prinsip kebebasan media. Namun, ia juga boleh disalahgunakan oleh media yang tidak bertanggungjawab untuk membuat laporan tidak berasas tanpa takut kepada tindakan balas.
Manakala pihak pengurusan dan lembaga pengarah HRD Corp pula berada dalam situasi yang sukar untuk menguruskan persepsi negatif bila diarahkan untuk tidak menjawab atau mengambil tindakan undang-undang.
Ini semakin ketara bila organisasi diasak pertanyaan bertubi-tubi dari pelbagai pihak, terutama sekali pemegang taruh yang ada di kalangan mereka telah mengugut untuk menghentikan pembayaran levi sekiranya tidak mendapat sebarang penjelasan dan jaminan ketelusan dari HRD Corp.
Perlunya keseimbangan antara kebebasan media dan keadilan
Pengajaran daripada peristiwa ini ialah perlunya keseimbangan antara kebebasan media dan keadilan. Kebebasan media adalah penting untuk memastikan ketelusan, tetapi ia perlu diimbangi dengan hak organisasi untuk mempertahankan reputasinya. Ketelusan tidak boleh menjadi alasan untuk membuat tuduhan tanpa bukti yang kukuh.
Dari sudut tadbir urus dan komunikasi korporat pula, institusi seperti HRD Corp pastinya sudah mempunyai mekanisme komunikasi yang jelas untuk menjawab segala tuduhan selain boleh memilih mengambil tindakan undang-undang. Laporan audit dan siasatan boleh sahaja dibenar dibentangkan dengan lengkap dan adil untuk mengelakkan salah tafsir.
Satu lagi pengajaran ialah perlunya proses siasatan dilakukan dengan lebih tegas dan cepat. Tempoh siasatan yang lama memberikan ruang kepada spekulasi dan merosakkan reputasi organisasi. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkaitan perlu lebih tangkas dalam menyelesaikan kes seperti ini dan membuat penutup (closure) ke atasnya.
Segala tindakan, termasuk tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menarik diri daripada panel pelaburan HRD Corp, perlu selaras dengan undang-undang. Pengabaian kepada peruntukan undang-undang akan melemahkan integriti sistem.
Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat perlu mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak membenarkan HRD Corp untuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak tidak bertanggung jawab yang telah memfitnah organisasi tersebut. Ini akan memberi peluang kepada HRD Corp untuk membersihkan namanya di mahkamah secara adil. Langkah ini juga akan memastikan bahawa pada masa hadapan prinsip kebebasan media tidak akan digunakan untuk menyebarkan tuduhan tidak berasas kepada mana-mana pihak.
Selain itu, HRD Corp juga wajar diberi ruang untuk menjawab tuduhan terhadapnya secara terbuka melalui sidang media atau laporan balas rasmi, seperti yang dilakukan oleh MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) beserta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Kejadian ini menjadi peringatan bahawa tuduhan tanpa bukti kukuh boleh merosakkan reputasi organisasi yang strategik seperti HRD Corp. Keputusan untuk tidak membenarkan HRD Corp mempertahankan diri, sama ada melalui undang-undang atau penjelasan umum, adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan.
Sebagai contohnya, sebuah portal berita tempatan sebelum ini menerbitkan satu siri “pengakuan” daripada seorang bekas eksekutif kanan yang mendakwa mengenai kewujudan salah laku dalam HRD Corp. Dakwaan begini pasti memberi gambaran salah jika tidak dijawab atau diambil tindakan.
Oleh itu, demi memastikan integriti institusi awam dan kepercayaan rakyat, HRD Corp perlu diberi peluang untuk menjawab dan mengambil tindakan undang-undang ke atas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan