Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong menunjukkan akaun yang digunakan untuk sindiket penipuan

KUALA LUMPUR – Menggunakan gambar pesakit strok bagi meraih simpati dan sumbangan orang ramai.

Itu taktik yang digunakan sindiket penipuan yang tidak hanya mencemarkan imej pasangan suami isteri malah menyebabkan mereka turut dilabel ‘penipu’.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa, Moo Lee Yoon, 40, memberitahu suaminya, Ng Choun Ying, mengalami angin ahmar sejak dua tahun lalu menyebabkan mangsa terpaksa meminta bantuan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), bagi menampung kehidupan.

“Mangsa kemudian meminta NGO berkenaan untuk menghentikan kutipan dana pada tahun 2022 selepas menerima bantuan kewangan daripada syarikat akhbar berbahasa Cina.

“NGO itu kemudian bersetuju menghentikan kutipan namun hanya memberi mangsa sumbangan berjumlah RM2,000, berapa kutipan yang NGO itu terima, mereka tidak tahu,” katanya pada sidang media di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, di sini, hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, mangsa terkejut selepas melihat satu hantaran di laman Facebook pada akaun Ai Chi Charity Foundation pada Jun 2024, yang mana individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambar mereka sekeluarga meminta derma yang disertakan kod QR akaun bank individu tidak dikenali.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, sindiket penipuan itu sering menggunakan akaun Facebook baharu, dan setakat ini, akaun berkaitan kutipan dana tersebut sudah mencapai lapan akaun.

“Akibat perbuatan itu, keluarga mangsa dilabel menipu dan memberi impak buruk kepada keluarga mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Michael meminta pihak berwajib agar segera mengenakan tindakan yang sewajarnya terhadap individu berkenaan dan memohon agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan terhadap akaun terbabit. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here