BUTTERWORTH – Seorang penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah pada tahun lalu.
Tertuduh, Ng Khai Liang, 42 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, Khai Liang didapati melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta syarikat termasuk enam keping kad Touch N Go, 20 alat penapis air dan 30 penyaman udara milik syarikat SK Magic Retails Malaysia Sdn Bhd yang bernilai keseluruhan RM126,765.
Lelaki bujang itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat syarikat berkenaan, di sini, antara 11 Jun sehingga 18 September tahun lalu.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Muhammad Rifaie mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun tertuduh merayu agar jaminan dapat dikurangkan atas alasan dia perlu menyara ibunya yang sudah tua selain abangnya yang menghidap penyakit buah pinggang.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta syarat tambahan seperti ditawarkan DPP.
Kes ditetapkan pada 7 Januari tahun depan untuk sebutan semula dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette