Razali Kassim

KUANTAN – Rapid Kuantan perlu meneruskan perkhidmatan bas sehingga Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan untuk tender terbuka Stage Bus Service Transformation 2.0 (SBST 2.0) mulai 2025 hingga 2030 dikeluarkan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim memberitahu, perbincangan antara kerajaan negeri dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkaitan operasi Rapid Kuantan telah diadakan pada 8 Oktober lalu.

Menurutnya, Rapid Kuantan memaklumkan nilai kontrak SBST 2.0 Kuantan untuk tempoh lima tahun tidak dapat menampung kos operasi 55 bas sehari.

Selain itu, pengendali bas itu tidak mempunyai tapak depot kekal untuk menyelenggara bas.

“APAD telah membentangkan tender terbuka berkenaan SBST 2.0 mulai 2025 hingga 2030 dan memaklumkan pihak Rapid Kuantan hadir pada taklimat tender itu dan mereka tidak memasuki tender terbuka SBST 2.0 berikutan makluman masa terlalu singkat,” katanya yang menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu (PKR), Chun Kuang.

Chuan Kuang bertanya adakah kerajaan negeri mempertahankan Rapid Kuantan sebagai operator dengan faktor perkhidmatan awam kepada penduduk Kuantan dan pelajar.

Soalnya lagi, adakah pelantikan operator swasta yang bersifat keuntungan mungkin akan menjejaskan perkhidmatan kepada warga Kuantan dan adakah kerajaan Pahang boleh menjamin perkhidmatan yang sama atau lebih baik berbanding operator baharu.

Razali menjelaskan, operator baharu juga perlu menyediakan pas bulanan (RM50) tanpa had dan kad konsesi untuk orang kurang upaya (OKU), pelajar dan warga emas dengan kos pendaftaran RM10 secara sekali bayar.

Tambah beliau, SBST 2.0 Kuantan merangkumi 16 laluan dan kesemua laluan ini telah dibuat kajian sebelum tender dikeluarkan.

”Kemudian selepas tender dikeluarkan akan ada kajian semula keberkesanan laluan selepas sembilan bulan hingga 12 bulan perkhidmatan bas diberikan,” jawab beliau sambal menambah kerajaan negeri dan APAD akan sentiasa memantau pengoperasian perkhidmatan bas bagi memastikan operator baharu yang dilantik memberikan perkhidmatan yang lebih baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here